Monday, April 12, 2010

BUANG BAYI LAGI

Semalam,Malaysia mencipta lagi sejarah pembuangan bayi ke dalam tong sampah.Apakah anak manusia kini sudah mampu dilabelkan sebagai sampah?Belum cukup lagikah sampah masyarakat yang dah melambak dimerata tempat sekarang?

Semua orang mahu menilai Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.namun mengapa semua yang menyakitkan hati ini semakin berluasa?Manusiakah yang semakin tidak berhati perut atau manusia kini sudah hancur pegangan agama?

Hari ini adalah hari pertama saya menjadi pengasuh kepada medina.Walaupun saya tidak melahirkannya,tapi hati saya sangat tersentuh bila melihatnya.Hati saya sangat senang bila memeluknya walaupun dalam kesibukan.Tetapi bagi mereka yang sanggup membuang bayi ini,golongan manakah mereka?

Bila manusia sudah tiada pertimbangan,mereka ini akan menjadi manusia yang paling hina yang sanggup melakukan apa saja tanpa memikirkan risikonya.

Sebagai seorang ibu,saya amat kesal dan sedih melihat anak-anak yang disiakan oleh ibubapa begini.Bagi saya,mengandung adalah satu anugerah yang sangat indah untuk dirasakan.Dan Bersalin adalah kesakitan yang paling menguji namun memberi kepuasan kerana mendapat hadiah yang paling cantik.

Disaat merasa ada sesuatu yang bergerak menendang-nendang perut,terasa sangat terharu dan penuh kasih sayang.Tidakkah mereka yang sanggup membuang anak sendiri ini merasakan seperti yang saya rasa?Tiadakah sedetikpun timbul rasa kasih yang berbunga didalam perut kita?

Kalaupun lelaki tidak merasa ada bayi diperut mereka,itu adalah ketentuan Allah.Tetapi wanita yang merasa ada bayi dalam rahim mereka,itu adalah anugerah yang paling berharga sebagai seorang manusia.

Pertama kali memandang mereka lahir,satu kekaguman dengan anugerahnya.Pertama kali menyusukannya,terasa ada satu pertalian yang sangat rapat dengan seseorang.Bila bayi sudah membesar,kita pasti dapat merasa bahawa kita memiliki bayi kita.semua bayi hanya mahukan ibu bapa mereka.Itulah yang dikatakan partalian darah.

Semua manusia yang lahir didunia ini pasti pernah merasa dimanjakan ibubapa,atau seseorang yang memelihara mereka sejak kecil.Bila kita sayangkan seseorang seperti anak,ibu,bapa,nenek,pasti tiada yang mampu menggantikan mereka walaupun bila mereka telah tiada.Indah bukan mempunyai dan dipunyai?

Untuk semua yang membaca cerita saya ini,marilah kita bina hidup yang berlandaskan agama supaya kita dapat membina hidup yang lebih sempurna.Saya yakin,Tiada siapa yang mahu hidup hanyut tanpa penghujung.Tiada siapa yang mahu hidup mereka bila tua kelak,bersendirian dalam kehampaan,dengan kekesalan sepanjang hayat.

Bila kita mempunyai anak,didiklah mereka dengan didikan agama yang cukup.Jangan takut untuk menegur atau memarahi mereka jika mereka berbuat salah.Sesetengah orang,takut untuk menegur anak kerana anak mereka akan marah dan melawan.Tapi insyaallah....membentuk anak dengan teguran dengan pendekatan yang betul,mampu membuat mereka faham kenapa mereka ditegur.

Kadang-kadang ada ibubapa yang memarahi anak dikhalayak ramai kerana tidak suka dengan perlakuan anak.namun tidak memikirkan perkara itu akan memalukan anak mereka.Kalau kita mempunyai anak yang bermasalah,pantaulah mereka agar tidak terjadi sesuatu yang tidak diingini seperti pembuangan bayi ini.

Bila anak melawan kerana mahukan kebebasan,jangan kita takut anak kita marah pada kita.Setelah kita didik dia dengan kasih sayang dan didikan agama,saya yakin bahawa kemarahan anak dengan teguran kita,takkan kemana.Betapa marah dan tidak puas hatinya anak terhadap ibubapa,mereka pasti tetap menyayangi kita.

Sedangkan anak nabi Nuhpun menderhaka pada bapa mereka seorang nabi,apatah lagi kita manusia biasa.Sekurang-kurangnya,kita telahpun menunaikan tanggungjawab kita sebagai ibubapa.

Sanggupkah kita kalau ditanya Allah,kenapa anak kita menjadi pembunuh kepada anak sendiri?Sekurang-kurangnya,kita telahpun berusaha menjadikan mereka yang terbaik.Kalaupun kita terlambat mendidik mereka,bantulah mereka meneruskan hidup dengan lebih sempurna.Jangan sampai anak manusia yakni keturunan kita,terbuang lagi seperti sampah yang tidak berharga.Walhal Allah menciptakan manusia adalah sebaik-baik makhluk.Wallahu a,alam.

No comments:

Post a Comment